“Aik HP kau boleh lipat? Teringat pulak Motorola Razr dulu” 

Kalau dulu, mempunyai telefon bimbit boleh lipat menjadikan anda seorang yang cool. Siapa boleh lupa dengan Motorola Razr, sebuah telefon lipat yang menjadi fenomena di pertengahan tahun 2000an dulu? 

Kalau dulu telefon hanya sekadar satu alat untuk berhubung dari talian ke hujung talian lain, telefon bimbit telah mengalami pelbagai fasa inovasi dan revolusi daripada rekabentuk ke paparan, fungsi dan semestinya harga.  Fungsinya pula sudah tentu bukan sekadar untuk berhubung dan membuat panggilan tetapi lebih daripada itu. 

Ilustrasi menunjukkan kepelbagaian fungsi telefon apda masa kini

Syarikat-syarikat pengeluar pula bersaing dengan hebat untuk mengeluarkan jenis telefon yang pelbagai. Kadang-kadang sampai 3 bulan sekali keluarkan telefon baru.  Jom kita tengok inovasi dan revolusi yang telah dialami oleh telefon bimbit.

TANPA PERTAMA, TIADA YANG SETERUSNYA

Gambar menunjukkan seorang perempuan bersama telefon Motorola Dyna TAC 800x

Telefon flip pertama. Selepas banyak telefon bimbit bersaiz besar dan “gedabak”  muncul seperti Mobira CityMan 900 dan SH-100 yang merupakan telefon pertama keluaran Samsung, Motorola membuat inovasi semula dengan membawa reka bentuk “flip” ke pasaran. Dikenali sebagai  MicroTAC Motorola. 

Gambar menunjukkan telefon flip pertama iaitu Motorola MicroTAC

Telefon GSM (2G) pertama. Juga dikenali sebagai telefon pertama yang di pasar dan dikeluarkan secara ‘mass’; iaitu Nokia 1011 pada tahun 1992. Bentuk dan antennanya yang kecil menjadikan model keluaran Nokia ini sebuah inovasi hebat pada tahun tersebut. 

Gambar menunjukkan seseorang sedang memegang telefon Nokia 1011

Telefon “touch screen” pertama. Telefon pintar pertama diperkenalkan lebih awal daripada yang dijangkakan. Dikeluarkan pada tahun 1994, Simon IBM ialah peranti pertama yang menampilkan aplikasi dan skrin sentuh, justeru ia dianggap sebagai telefon pintar pertama di dunia.

Gambar menunjukkan seseorang sedang memegang telefon pintar pertama iaitu Simon IBM

Telefon pertama yang menggunakan skrin berwarna. Sebelum ini, kesemua telefon yang dikeluarkan masih menggunakan warna asas hitam putih, jadi inovasi daripada Siemens dengan telefonnya iaitu S10 menjadikannya telefon “skrin berwarna” pertama didunia. Telefon ini muncul pada tahun 1998. 

Gambar menunjukkan telefon Siemens S10 dengan paparan skrin berwarna

Telefon berkamera pertama. Syarikat daripada Jepun menjadi syarikat pertama yang memperkenalkan telefon dengan perisian kamera. Kyocera VP-210 Visual Phone hadir dengan kamera hadapan dan hanya mampu menyimpan 20 keping gambar sahaja. Bermula daripada situ, telefon mengalami perubahan dan inovasi yang semakin pesat. 

Gambar menunjukkan seorang wanita sedang selfie menggunakan telefon Kyocera VP 210 

DARI BIMBIT KE PINTAR

Kalau dulu, mempunyai telefon boleh dikatakan sebagai satu ‘privilege’. Kalau tinggal di asrama, sesiapa yang ada telefon memang akan automatically jadi famous. Jom kita tengok antara telefon legenda yang confirm semua pernah guna. Silap-silap antara ini yang pernah kena rampas kat sekolah dulu, baik kat sekolah ataupun asrama. Haa mesti mengimbau kenangan tu. 

1. Era Nokia (90an -2000an) 

Gambar menunjukkan pelbagai model telefon jenama Nokia

Bermula dengan ‘The Godfather of handphone’ iaitu Nokia 3310. Boleh dikatakan 3310 adalah telefon pertama yang dimiliki oleh semua orang. Sebuah ikon dan legenda Nokia, penjualannnya mencatat 126 juta buah di seluruh dunia. Ketahanan bateri dan ‘simplicity’ rekaan serta permainan klasik “snake” antara punca penggunaannya yang meluas. Nokia menjadi antara pengeluar telefon prolifik dengan keluaran ciptaan telefon lain selepas itu dengan Nokia N-Gage, Nokia N95 dan banyak lagi. Kalau di Malaysia, sebut je ‘daun’, ‘sabun’ confirm orang akan tahu telefon Nokia jenis apa anda pakai. Tapi kalau tanya Gen Z, mungkin mereka terkebil-kebil jelah. 

2. Era Motorola (2004-2007)

Gambar menunjukkan telefon Motorola RAZR 

Siapa boleh lupa dengan Motorola Razr, sebuah telefon ‘flip’ ikonik yang didatangkan dengan beberapa warna. Telefon flip menjadi fenomena dengan beberapa syarikat lain yang turut mengeluarkan telefon flip lain seperti Nokia N93. Telefon flip juga telah kembali membuat kemunculan oleh syarikat gergasi telefon sekarang dengan pengeluaran model seperti Samsung Fold, Huawei Fold dan banyak lagi. 

3. Era Sony Ericson (2001-2010)

Gambar menunjukkan model daripada Sony Ericson Walkman Series

Masih ingat dengan warna ikonik ‘oren’ dan simbol huruf W di Sony Ericson Walkman?  Sony Ericsson menghasilkan beberapa siri telefon di bawah jenama Walkman untuk meyakinkan orang ramai bahawa telefon juga boleh menjadi pemain muzik yang berguna dan berkualiti tinggi. 

4. Era Blackberry (2007-2012)

Gambar menunjukkan pelbagai jenama telefon daripada Blackberry

“Apa BBM kau?” Sebelum kemunculan whatsapp, BBM atau Blackberry Messenger menjadi satu fenomena berkomunikasi untuk semua orang. Kalau anda tak ada BBM, confirm jadi outcast. Dengan stail keypad “QWERTY”, Blackberry menjadi telefon pilihan anak muda walaupun reka bentuknya yang kelihatan professional. 

5. Era iPhone (2007- Kini)

Gambar menunjukkan model telefon daripada jenama Iphone

Nama Steve Job kekal sebagai peneraju inovasi telefon dengan kemunculan iPhone yang pertama pada tahun 2007. Inovasi skrin penuh dengan perisian eksklusif hanya untuk Apple menjadikan iPhone pada awalnya sebuah telefon ‘top tier’. Sehingga kini, syarikat Apple menjadi antara syarikat peneraju dalam pembuatan dan pengeluaran telefon pintar. 

6. Era Android vs Apple (2015- Kini)

Gambar menunjukkan dua telefon dari Apple dan Android

Setelah itu, kemunculan syarikat-syarikat telefon seperti Huawei, Xiaomi, Oppo, Vivo dan banyak lagi yang menggunakan OS Android membuatkan persaingan antara keduanya bertambah sengit daripada masa ke semasa. 

TIADA YANG LAMA, TIADA YANG BARU

Sedekad kemudian, telefon pintar telah mengubah hidup kita sepenuhnya. Mustahil untuk membayangkan dunia tanpa alat pegang tangan. Walaupun nampaknya agak biasa tapi kita sebenarnya terhutang budi dengan inovasi terdahulu yang membuka jalan kepada inovasi dan ciptaan sekarang. 

Syarikat gergasi seperti Google, Apple dan Samsung yang menguasai dunia telefon bimbit  dan teknologi bermula dengan inovasi berterusan dan visi syarikat seperti Motorola dan Nokia. 

Ditambah dengan ketersambungan jalur lebar dan capaian internet yang semakin stabil, inovasi telefon bimbit bakal mengejutkan kita pada masa akan datang. Tapi ingat tak perlu pun nak kejar jenama & model terbaru, yang penting fungsinya cukup untuk keperluan masing-masing.