“Ni aku send kod QR ke kau, sampai je dekat post guard tu scan je dekat situ, nanti aku dapat noti kau dah sampai”

“Wuyoooo serious lah, tak payah register dekat guard house dah ke? Power betul”

Kita sering dengar tentang bandar pintar dan rumah pintar. Bagaimana pula dengan komuniti pintar? Tapi bila cakap berkenaan komuniti, mesti orang akan ingat tentang keselamatan sahaja. Sebenarnya keselamatan merupakan salah satu daripada elemen untuk mewujudkan sebuah komuniti pintar. Dengan perkembangan dan penggunaan IoT dalam negara, komuniti pintar akan menjadi asas penting dalam pembentukan sebuah negara pintar. 

Hari ini, dengan perkembangan teknologi yang semakin canggih, ia telah berjaya memberikan satu jalan penyelesaian yang menarik. Ini kerana komuniti pintar bukan je dapat memberikan tahap keselamatan yang tinggi kepada kejiranan, malah memudahkan urusan, sekaligus menaiktaraf kehidupan. 

APA ITU KOMUNITI PINTAR? 

Gambar menunjukkan komuniti yang menggunakan teknologi dan sambungan Internet

Komuniti pintar terbentuk dengan penggunaan teknologi yang meluas dalam sesebuah kejiranan atau komuniti dan juga perkembangan tahap literasi digital sesebuah kawasan. Ketersambungan jalur lebar dapat dimanfaat oleh setiap warga dan penduduk kawasan tanpa mengenal agama, bangsa, umur dan jantina. 


MEMBENTUK KOMUNITI PINTAR

Gambar menunjukkan beberapa orang yang menggunakan ketersambungan Internet dan teknologi

Penggunaan teknologi yang meluas akan membentuk budaya komuniti yang celik IT. Contohnya penggunaan cara pembayaran nir tunai di kedai-kedai runcit, penggunaan sistem POS Cloud dan pembangunan aplikasi penghantaran barang, aspek keselamatan dan banyak lagi. Jika dilihat, semakin ramai peniaga kecil yang turut menyediakan pilihan nir tunai dalam urusan mereka, seperti kod QR DuitNow. Begitu juga di pasar-pasar malam dan pagi dimana telah ramai peniaga kecil mengaplikasikan teknologi dalam urusan perniagaan. Malah, ada juga pengurusan kediaman yang sudah mendigitalkan urusan di kawasan kediaman mereka.

PERANAN PUSAT EKONOMI DIGITAL (PEDI) 

PEDI memainkan peranan penting dalam meningkatkan dan memperkasakan literasi digital orang ramai. Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) berfungsi sebagai Pusat Sehenti untuk menyediakan capaian Internet secara kolektif kepada masyarakat dan kawasan yang kurang mendapat liputan jalur lebar. Selain itu, ia juga akan membolehkan masyarakat setempat mengikuti pelbagai kursus dan latihan berasaskan ICT, mengambil bahagian dalam program mengasah kemahiran dalam peniagaan e-dagang, serta aktiviti yang menggalakkan penciptaan digital, penyebaran dan penguasaan ilmu pengetahuan digital.

Gambar menunjukkan kawasan dalaman PEDI dan seorang kanak-kanak lelaki yang menggunakan komputer di PEDI. Kredit gambar daripada TM. 

APLIKASI/PERISIAN UNTUK KOMUNITI PINTAR

Terdapat beberapa aplikasi yang boleh digunakan untuk sistem komuniti pintar. Sering kali juga dikenali sebagai penyelesaian pengurusan hartanah, platform yang lengkap ini menjadikan kehidupan lebih mudah bagi sesiapa sahaja yang berada terlibat dalam kejiranan ini – bermula daripada pihak pemaju Badan Pengurusan Bersama (JMB), kepada pemilik rumah, pengawal keselamatan dan juga tetamu. 

  1. JaGaSolution
  2. iNeighbour
  3. eCommunity
  4. MyTaman

Ikon menunjukkan logo-logo bagi aplikasi komuniti pintar. Kredit gambar daripada aplikasi masing-masing. 

Beberapa majlis perbandaran juga telah mendigitalkan perkhidmatan mereka sesuai dengan peredaran zaman dan teknologi. Contohnya seperti Majlis Perbandaran seperti Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ). 

BANDAR PINTAR BERMULA DENGAN KOMUNITI YANG PINTAR

Transformasi secara digital ini akan memacu perkembangan yang memberangsangkan dalam komuniti pintar ini yang bukan sahaja terhad kepada komuniti perumahan, malah diperluaskan lagi bagi bangunan komersial dan akhirnya kepada penyelesaian bandar pintar yang lebih kompleks. 

Rumah pintar, komuniti pintar dan sekaligus akan menjadikan sesebuah negara itu pintar. Dengan ketersambungan jalur lebar, semua pun akan jadi pintar. Jom pintarkan komuniti kita!