“Sarip, DSLR lama kau ni dah tak guna kan? Bagi aku je lah, aku nak try belajar lah” 

“Guna lah, tapi kena service dulu tu, nanti pergi kedai ini boleh join dorang photowalk” 

Generasi millenial mesti ingat waktu di mana semua orang nak jadi photographer. Dulu kalau outing je confirm akan terserempak dengan pemuda dan pemudi yang gantung DSLR di leher. 

Namun saban tahun, trend ini semakin ditinggalkan dan hanya dinikmati oleh mereka yang betul-betul minat. Sehinggalah kemunculan trend terbaru fotografi filem ataupun kamera menggunakan filem yang semakin di kenali apabila artis-artis antarabangsa seperti Lisa Blackpink dan Kendall Jenner mula menggunakan kamera ini.  Jadi ramai dah mula cari dan nak menceburi bidang kamera ini semula, tak kiralah filem ataupun digital. 

Gambar menunjukkan artis Kpop Lisa Blackpink dan model Kendall Jenner menggunakan kamera filem. Kredit imej daripada Instagram.

Kemunculan komuniti-komuniti fotografi secara digital juga menjadi pemangkin untuk mereka-mereka yang mahu bermula. Jom kita lihat bagaimana komuniti fotografi ini baik digital dan fizikal membantu berhubung sesama mereka. 

KOMUNITI FOTOGRAFI 

Tak kira pengalaman dan tahap anda sebagai jurugambar, terdapat ruang untuk berkembang dan mempelajari perkara baharu untuk membantu skil fotografi anda. Mempamerkan karya anda di media sosial ialah satu langkah untuk menunjukkan hasil kerja dan berhubung dengan orang lain. Tetapi ia tak terhenti di situ, menyertai komuniti fotografi ialah pilihan yang sesuai untuk bertemu jurugambar lain, mendapatkan maklum balas tentang gambar anda, mendedahkan kerja, serta mendapatkan inspirasi. 

JENIS-JENIS KOMUNITI FOTOGRAFI 

Terdapat dua jenis komunti fotografi di Malaysia yang boleh disertai untuk mereka yang mahu mula dan juga yang dah lama bertapak dalam bidang ini. 

1. Online – Semestinya dalam media sosial, terutamanya di Facebook. Ciri ‘Facebook Group’ ini telah banyak melahirkan komuniti dan membantu mereka-mereka yang ingin belajar. Kalau di Facebook, komuniti ini terbahagi kepada jenama kamera yang digunakan oleh seseorang. Contohnya komuniti Fujifilm User Malaysia, Sony a7 User Malaysia, Mirrorless Camera Group, Film is Not Dead Malaysia, Mobilegraphy Malaysia dan banyak lagi. Anda hanya perlu request untuk sertai dan boleh terus connect dengan pelbagai photographer di Malaysia dalam komuniti ini. 

Tangkap layar menunjukkan komuniti fotografi dalam Facebook. Kredit imej daripada Facebook Group Fujifilm User Group Malaysia

2. Fizikal – Komuniti secara fizikal berlaku di kedai-kedai kamera yang menawarkan servis dan perkhidmatan berkaitan fotografi. Sebagai regular customer, anda boleh mendapatkan pelbagai maklumat dan perkongsian daripada kedai-kedai ini. Jangan terkejut jika anda bertemu dengan ahli komuniti online kerana biasanya, kedai-kedai ini akan dikunjungi oleh mereka. Kedai-kedai seperti Zontiga, DarkRoom8 Studios, Lomocrewz, KLDSR dan banyak lagi menawarkan perkhidmatan secara fizikal dan online. Kedai-kedai ini juga ada membuat kelas-kelas teori dan forum perkongsian untuk anda sertai. 

Poster menunjukkan antara acara photowalk dan bengkel yang dianjurkan kedai-kedai fizikal. Kredit poster daripada Zontiga

BERGAMBAR BERSAMA, KONGSI RASA

Banyak manfaat kalau anda menyertai komuniti fotografi ini, apatah lagi di Malaysia kita sebenarnya mempunyai ramai bakat-bakat terpendam. 

  1. Bertemu dengan orang yang like-minded – Dengan melibatkan diri dengan komuniti fotografi, anda membuka diri untuk bertemu orang lain yang berfikiran sama dari pelbagai umur dan latar belakang. Lebih kerap kumpulan komuniti menganjurkan acara mereka sendiri termasuk pertemuan, photowalk dan pameran yang anda boleh sertai dan bersua muka. 
  2. Exposure/Pendedahan Diri – Menyertai komuniti fotografi ialah cara terbaik untuk berkongsi kerja dengan orang lain dan mencari peluang untuk karya anda mendapat lebih banyak pendedahan. Sama ada peluang yang dihoskan oleh komuniti itu sendiri, penampilan dalam majalah, menyertai pertandingan dan pameran fotografi atau potensi mencari pelanggan baru untuk perniagaan anda.
  3. Mendapatkan nasihat dan kritikan membina – Gunakan peluang komunikasi untuk mendapatkan nasihat dan kritikan daripada orang lain. Berkongsi foto anda menggalakkan komen daripada pengguna lain dan ia adalah cara terbaik untuk menerima kritikan dan nasihat yang membina serta dapat meningkatkan keyakinan anda. Anda juga boleh meminta nasihat dan tips penyelesaian masalah, sama ada yang berkaitan dengan kit atau perniagaan, atau sama ada orang lebih suka foto anda versi warna atau hitam putih. 
  4. Dapatkan pengetahuan dan inspirasi – Gunakan komuniti untuk mengikuti perkembangan terkini dalam dunia fotografi, serta dapatkan petua dan inspirasi. Dengan kepelbagaian perkongsian kerja daripada ahli komuniti yang lain, komuniti akan menjadi sumber inspirasi yang bermanfaat dan anda juga boleh mempelajari teknik baharu. Dengan berkongsi kerja anda dan melibatkan diri dengan pengguna lain, anda juga boleh memberikan inspirasi yang sangat diperlukan untuk orang lain. Simbiosis lah kata orang. 

LEBIH SEKADAR PLATFORM PERKONGSIAN  

Sebenarnya nak jana pendapatan pun boleh. Sekarang ini, semua orang cari preset-preset aplikasi Lightroom untuk gambar mereka. Ada juga fotografer yang menjual preset-preset yang dicipta sendiri. Selain itu, jika anda pakar dalam satu-satu jenama, anda juga boleh menjual tetapan atau settings kamera anda kepada orang lain.  Bengkel-bengkel juga boleh dianjurkan. Kalau ada photowalk, boleh jadikan ia sebagai vlog untuk channel anda. Mungkin hasilnya tak banyak, tetapi adalah duit tepi sikit. Boleh kumpul beli lensa kamera baru. 

Tangkap layar Adobe Lightroom Presets yang dijual dalam talian

BERHUBUNG SECARA VISUAL  DENGAN KOMUNITI FOTOGRAFI

Ilustrasi menunjukkan pelbagai jenis kamera yang dipegang beberapa pasang tangan

Cipta memori dan nostalgia dengan menyertai komuniti fotografi, tak kisah secara online atau fizikal. Komuniti ini pasti akan berkembang merentas sempadan dengan ketersambungan jalur lebar. Mana tahu, nanti hasil gambar anda menjadi inspirasi dan pada masa sama boleh memberikan pendapatan atau memenangi anugerah? 

Seperti juga Muhd Nazri Sulaiman yang berjaya menempa nama di persada dunia apabila memenangi anugerah di Sienna International Photo Award dengan foto dinamakan ‘berkongsi emosi’ di mana seorang kanak-kanak duduk sugul bersandarkan seekor kerbau berlatarbelakangkan sekumpulan kerbau.  Foto itu mendapat perhatian rakyat Malaysia dengan menzahirkan emosi unik antara haiwan dan manusia.

Jadi, jom manfaatkan komuniti fotogafi untuk mula belajar, berkongsi pengetahuan dan berhubung secara visual dengan orang lain!