Zaman sekarang ni, tak boleh nak bayang kalau tak ada Internet. Tak lah keterlaluan untuk bayangkan kalau sambungan Internet terputus, hampir sunyi sepi dunia ini dan segala urusan harian akan lumpuh. Dari semua segi dan sudut, ketersambungan jalur lebar memanfaatkan hampir semua industri dan segmen, dari aspek ekonomi, gaya hidup, pembelajaran, perkhidmatan dan banyak lagi. 

Kalau dulu penggunaan Internet di Malaysia tak semua dapat diakses, senang cakap yang berkemampuan je boleh. Jadi kena lah menumpang rumah kawan-kawan atau saudara mara semata-mata nak buka email. Lepas tu kena tunggu proses mengakses Internet yang dipanggil dial-up. Kalau sesiapa yang angkat telefon, confirm kena marah! Kini, situasi telah jauh berbeza. Hampir semua rakyat Malaysia dapat mengakses Internet, sama ada di rumah atau ketika on-the-go.

Tangkap layar menunjukkan kotak dialog dial-up. Kredit imej daripada Iluminasi.

Jom kita tengok sejarah Internet di Malaysia, bagaimana rakyat Malaysia mula mendapat manfaat ketersambungan jalur lebar. 

MULA TERSAMBUNG 

Gambar menunjukkan Dr Mohamed Awang-Lah. Kredit imej daripada majalahsains.

Pada tahun 1983 seorang rakyat Malaysia yang pertama iaitu Dr. Mohamed Awang-Lah (salah seorang ahli Lembaga Pengarah OUM) memulakan idea untuk menghubungkan Malaysia dengan dunia menerusi Internet di makmal Universiti Malaya. Pada ketika itu, beliau merupakan ahli akademik Fakulti Elektrikal/Elektronik di Universiti Malaya. Dr. Mohamed Awang-Lah telah membuat hubungan Internet yang sama di akhir tahun 1984 ketika beliau ditempatkan di MIMOS (Malaysian Institute of Microelectronic System). 

SAMBUNGAN BERKEMBANG

Logo menunjukkan RangKom (Rangkaian Komputer Malaysia). Kedit imej daripada Facebook.

RANGKOM  – Pada tahun 1989, Rangkaian Komputer Malaysia (RangKoM) dengan kemudahan sambungan antarabangsa telah ditubuhkan oleh Dr. Mohamed Awang-Lah. Tumpuan awal penggunaan RangKoM ialah pada mel dan forum elektronik, walaupun ia mempunyai keupayaan komunikasi dan perkongsian sumber. Projek RangKoM bukan sahaja memberi pengalaman dari segi pembangunan teknologi, malah ia juga mendedahkan beberapa kelemahan, kekurangan dan juga potensi penggunaan teknologi rangkaian komunikasi dan isu-isu pengurusan yang berkaitan dengannya. 

Logo menunjukkan logo JARING. Kedit imej daripada Facebook. 

JARING – Dilancarkan pada tahun 1991 bertujuan untuk membangunkan rangkaian komunikasi negara secara bersepadu dan lebih menyeluruh. Secara praktiknya, segala kegiatan dan pengalaman projek RangKoM telah diserapkan ke dalam projek JARING. Keupayaan JARING ini memanfaatkan sepenuhnya teknologi gentian optik selaras dengan pertambahan dalam bilangan langganan sepanjang tahun 1995. Pada 11 Jun 1999, JARING memasang talian antarabangsa berkelajuan 45Mbps yang merupakan talian pertama seumpamanya di rantau ini (di luar Jepun). Selanjutnya pada akhir tahun 1999, jumlah langganan JARING meningkat melebihi 100,000 orang dengan jumlah pengguna dianggarkan melebihi 300,000 orang.

TMNet – Tahun 1996 menyaksikan kemunculan TMnet oleh Telekom Malaysia Berhad yang menjadi Pembekal Perkhidmatan Internet (ISP, Internet Service Provider) kedua Malaysia setelah mendapat lesen daripada pihak kerajaan. Ia bagi menampung pengguna yang semakin meningkat dan semakin memerlukan perkhidmatan terbaik. Seterusnya pada tahun 2000, syarikat-syarikat seperti Maxis, Celcom dan Time mengikut langkah menjadi ISP.

KETERSAMBUNGAN DENGAN JALUR LEBAR KELAJUAN TINGGI 

KETERSAMBUNGAN JALUR LEBAR LEBIH MELUAS

Pada tahun 2020, NBI  yang kini dikenali sebagai Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) diteruskan untuk memberi liputan yang lebih meluas dan pengalaman kualiti jalur lebar yang lebih baik untuk rakyat, sebagai langkah siap siaga negara untuk beralih kepada teknologi 5G. Pelbagai inisiatif diwujudkan untuk meningkatkan kesalinghubungan dan komunikasi yang mampan.

KETERSAMBUNGAN UNTUK SEMUA

Yang terkini (setakat artikel ini ditulis), Pakej Perpaduan Jalur Lebar Tetap akan ditawarkan bermula Mac 2023 dan penyedia perkhidmatan Internet (ISP) utama negara bersama-sama menyediakannya iaitu Telekom Malaysia (TM), CelcomDigi, Maxis, U Mobile, YTL, TIME Berhad, dan Astro.

KEKAL TERSAMBUNG

Ilustrasi menunjukkan penggunaan Internet diseluruh dunia

Kerajaan sentiasa melihat kepentingan jalur lebar ini kepada rakyat dengan pelbagai inisiatif dan perancangan  seperti penambahbaikan infrastruktur seperti HSBB dan SUBB, pakej mampu milik dan banyak lagi. Pelaksanaan inisiatif jalur lebar nasional menjadi bukti kesungguhan kerajaan dalam menaik taraf dan memperluas rangkaian jalur lebar di seluruh negara. 

Ia juga adalah harapan seluruh rakyat negara untuk menikmati kemudahan Internet tanpa gangguan serta di serata kawasan tanpa mengira bandar, pinggir bandar atau kawasan pedalaman agar manfaat ketersambungan jalur lebar dapat dinikmati segenap rakyat Malaysia!