“Sayang, jangan lupa delete semua aplikasi media sosial dalam phone tu waktu kita bercuti kali ni”

Tak dinafikan pada zaman sekarang ni, semua orang nak update tentang gaya hidup masing-masing. Tak kira waktu termasuklah ketika sedang seronok bercuti. Tapi jangan seronok sangat.. Anda sedang diperhatikan..

Tahukah anda, keselamatan identiti digital anda amat terdedah dan tersedia untuk dicuri oleh penggodam di luar sana jika mereka dapat dokumen dan maklumat penting anda?

Ilustrasi menunjukkan pencuri identiti menggunakan maklumat peribadi mangsa untuk melakukan aktiviti

APA RISIKO ‘IDENTITY THEFT’  YANG ANDA HADAPI KETIKA MELANCONG?

Antara risiko yang selalu sangat terjadi dalam dunia digital ni adalah kecurian identiti kewangan anda. Dirompak atas angin rupanya atas kecuaian menggunakan medium pembayaran atas talian, atau penggunaan Internet awam di hotel dan di tempat pelancongan.

Bila dah habis melancong dan nak buat kira-kira bajet, tiba-tiba ada pembelian atas nama anda. Tetapi anda langsung tak ingat mengenai pembelian atau transaksi tersebut. Baca selanjutnya untuk mengetahui tips-tips mengelakkan kecurian identiti digital & kewangan dan 3 peringkat yang anda boleh siapsiagakan diri. 

TIPS SEBELUM BERCUTI

Ilustrasi menunjukkan checklist sebelum melancong

  1. Jangan bawa dokumen fizikal – Dokumen fizikal seperti buku cheque, penyata bank, rekod medikal atau sebarang dokumentasi yang menyimpan maklumat peribadi anda kecuali kad pengenalan diri dan kad ATM tertentu. Dokumen seperti penyata bank dan rekod medikal sudah pun boleh diakses secara digital jadi tak perlu bawa dokumen fizikal tersebut lagi dah. 
  2. Simpan dengan selamat – Pastikan dokumen seperti pengenalan diri dan kad bank sentiasa dalam keadaan yang selamat. Lebih selamat kalau anda dapat menyediakan semua dokumen anda dalam purse atau wallet yang mempunyai ciri RFID blocking. Ini bagaimana RFID wallet boleh melindungi maklumat anda. Bagi kad bank pula, boleh gunakan kad bank virtual
  3. Puasa Media Sosial – Buang semua aplikasi media sosial, perbankan, pelaburan dan sebagainya daripada smartphone anda sebelum anda melangkah keluar rumah untuk bercuti. Kalau tak mampu nak buang, kami faham. Ehem ehem…mesti lah nak gunakan media sosial untuk kongsi pengalaman melancong kan? Anda boleh je log out dulu. Jadi setiap kali nak guna media sosial, log masuk dan sentiasa log keluar selepas habis guna. 
  4. Guna 2 factor authentication (2FA) – 2FA adalah langkah verifikasi tambahan yang diletakkan pada sesuatu platform atas talian bagi meningkatkan tahap keselamatan pengguna yang mahu menggunakan platform tersebut. Jadi guna tetapan 2FA untuk platform berisiko terutamanya seperti perbankan dalam talian. 

TIPS KETIKA BERCUTI

Ilustrasi menunjukkan sekumpulan kawan sedang melancong 

  1. Buat email khas – Sepanjang anda bercuti, pastikan anda gunakan email yang dicipta semata-mata untuk percutian itu sahaja. Pilihan ‘hide my email’ untuk peranti iOS boleh digunakan ketika membuat pendaftaran pada mana-mana medium pembayaran atau tempahan bagi melindungi data email anda.
  2. Elak guna Internet Awam – Kalau kena guna juga, sentiasa berhati-hati menggunakan Internet awam. Baca di sini untuk ketahui bahaya Wi-Fi awam. Kemudahan memang sentiasa ditawarkan tapi jadi pengguna yang bijak dengan sentiasa menggunakan VPN
  3. Selalu periksa transaksi – Biasakan diri untuk memeriksa perbankan dalam talian jika mempunyai transaksi yang mencurigakan melalui kad debit atau kredit anda. Nak-nak sekarang setiap kali buat transaksi, mesti anda akan terima notifikasi. Jadi pastikan notifikasi memang betul dengan transaksi yang anda buat. Paling penting, jangan kongsikan jika nombor TAC anda diminta pada orang yang tak dikenali. 
  4. Jaga telefon bimbit – Pastikan telefon bimbit anda sentiasa bersama anda. Elak daripada mengeluarkan telefon bimbit untuk perkara yang tak penting. Boleh juga tukar kata laluan kepada yang lebih kukuh untuk mengurangkan risiko digodam jika berlaku sebarang kecurian telefon. Telefon bimbit sekarang memang lubuk kepada pelbagai informasi peribadi kita jadi pastikan anda menjaganya dengan selamat. 

TIPS SELEPAS BALIK BERCUTI

  1. Periksa media sosial – Anda boleh memuat turun semula aplikasi media sosial, perbankan dan lain-lain ketika sampai di rumah. Periksa juga jika ada aktiviti mencurigakan dalam media sosial anda semasa melancong. 
  2. Periksa perbelanjaan – Sentiasa memeriksa penyata bank atau kad kredit anda selepas pulang dari percutian bagi memastikan tiada transaksi pelik atau luar pengetahuan berlaku sepanjang percutian atau selepas percutian. ‘Perompak’ identiti anda mungkin bijak dengan tak menggunakannya ketika anda masih berada di lokasi percutian, tetapi mereka boleh memulakan aktiviti itu setelah beberapa hari atau minggu selepas anda pulang. Jadi anda kena sentiasa peka untuk perkara seperti ini. 
  3. Tukar password – Tukarkan password email atau apa sahaja medium yang terlibat ketika percutian dan tukarkan pin pada kad bank yang anda gunakan ketika melancong. 

MELANCONG DENGAN SERONOK DAN SELAMAT

Ilustrasi menunjukkan pasangan yang sedang bercuti

Sentiasa berhati-hati dan jangan terlampau seronok sehingga terlupa keselamatan. Bercuti memang boleh melegakan otak, tapi kalau kita tidak berhati-hati.. Percutian yang indah boleh menjadi mimpi ngeri. Pastikan data peribadi dan identiti digital anda sentiasa dilindungi dengan tetapan  yang tersedia.

Teknologi kini membolehkan kita untuk terdedah dengan penggodam, tetapi jika menjadi pengguna digital yang pintar, anda mampu melindungi identiti digital anda dengan segala yang tersedia menggunakan jalur lebar. 

Perkasakan literasi digital dengan menetapkan ciri keselamatan untuk telefon dan aplikasi anda kepada yang lebih selamat.