“Dah kenapa pula dia buat macam ni?”

Pernah tak anda berkata sebegini apabila scroll video di media sosial? Biasanya reaksi tersebut berlaku apabila video yang ditonton mengandungi isu-isu sensitif dalam kalangan masyarakat. Apatah lagi apabila media sosial menjadi medium komunikasi utama yang digunakan secara individu atau sebagai organisasi.

TERLALU MENGIKUT PERASAAN 

Video mahupun hantaran tak beretika kebiasaannya menjadi tular berpunca daripada terlalu mengikut perasaan. Mungkin mahu menjadi yang pertama, ada juga yang sengaja mencuba nasib bagi mendapatkan pengikut dan view. Hantaran begini biasanya mendatangkan keburukan daripada kebaikan.

Jadi, sebagai pengguna media sosial, ini 5 ETIKA yang anda perlu beri perhatian bagi mengelak daripada tular yang memakan diri sendiri:

1. BERHENTI SEKETIKA & FIKIR DAHULU

Tak semua individu mempunyai pendapat yang sama dengan kita. Ketika anda berasa teruja, marah atau sedih, pastinya anda mahu meluahkan perasaan tersebut. Tetapi tanpa anda sedar hantaran yang akan dimuat naik mungkin bakal melanggar moral setempat, undang-undang mahupun mengganggu emosi pihak lain.

Penting untuk tanya diri sendiri sebelum membuat posting

“Okay ke apa aku nak post ni?”

Dan jika sukar, jauhkan diri anda daripada media sosial dan ambil masa untuk berehat seketika daripadanya.

2. RUJUK SUMBER DIPERCAYAI

“BILA-BILA MASA DALAM MASA TERDEKAT MARKET CRASH TERBESAR DUNIA AKAN BERLAKU. SISTEM PERBANKAN SEDIA ADA AKAN RUNTUH!” – “forwarded many times”, 5 minutes ago.

Mungkin ada antara anda yang pernah menerima dan membaca mesej berbunyi seperti di atas dalam mana-mana group Whatsapp. Sebagai penerima, semaklah kredibiliti mesej tersebut sebelum disebar. 

Antara sumber berita yang berkredibiliti dalam negara adalah  BERNAMA, Sebenarnya.my, ataupun media sosial rasmi pihak berkait. Penting juga untuk beri kesedaran pada keluarga dan rakan terdekat untuk semak fakta melalui saluran yang dipercayai.

Gambar menunjukkan kempen laman web sebenarnya.my untuk menggalakkan orang ramai mengesahkan kesahihan maklumat.
Gambar menunjukkan kempen laman web sebenarnya.my untuk menggalakkan orang ramai mengesahkan kesahihan maklumat

3. JAGA REPUTASI DIRI

Sebagai manusia, memang tidak lepas untuk kita menjadi emosional. Bila anda sedar saja diri sedang penuh beremosi  (terlalu teruja, marah, takut dan sebagainya), elak dari buka media sosial.

Ini juga sebab setiap langkah digital anda direkod. Apabila dipadam, konten yang dimuat naik mungkin masih ada. Risau jejak konten ini akan memalukan diri sendiri atau organisasi dikemudian hari, apatah lagi apabila sempat direkod dan dimuat naik semula oleh netizen.

4. TAPIS HANTARAN YANG DIMUAT NAIK

Tidak semua perkara dan perincian peribadi anda perlu dimuat naik. Cuba untuk sentiasa tapis dan tanya diri anda, adakah hantaran yang akan dimuat naik sesuai untuk tontonan awam, terutamanya apabila akaun anda menggunakan tetapan umum. 

Sebagai contoh, posting bersifat peribadi seperti rungutan tak berasas tentang majikan dimuat naik di media sosial anda yang bertetapan umum. Anda berisiko untuk terdedah dengan tindakan tatatertib daripada majikan seperti digantung kerja jika hantaran tersebut sampai ke tangan mereka.

5. PERHATI JENIS AUDIEN DAN PENGIKUT

Anda sentiasa mempunyai pilihan untuk menetapkan tetapan di media sosial sama ada untuk dijadikan tetapan persendirian (private) ataupun umum (public). Jika akaun anda bertetapan umum, sebaiknya anda muat naik konten yang relevan dan sesuai berdasarkan jenis pengikut akaun anda.

Sebagai contoh, sekiranya fokus konten akaun anda adalah berkaitan makanan, cuba elakkan memberi reaksi kurang sopan apabila mencuba makanan baru. Konten yang dimuat naik bakal menjadi bualan sensasi dan cacian di media sosial jika ianya bukan sebuah hantaran yang seiring moral para pengikut anda.

MANFAATKAN PLATFORM & HORMAT SENSITIVITI MASYARAKAT

Maklumat di media sosial dan Internet sememangnya mudah mendapat perhatian dengan pantas. Lebih lagi dengan capaian Internet meluas dengan broadband connectivity, sesiapa saja mampu menjadi tular tak kira di mana saja mereka berada.

Namun dalam menggunakan kelebihan capaian Internet ini, manfaatkan platform sebaiknya dan sentiasa menjadikan etika-etika ini sebagai sebahagian kebiasaan. Peka kepada sensitiviti masyarakat dan juga semasa, penting supaya informasi tanpa sempadan ini dapat digunakan sebaiknya dengan lebih bermoral.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *