“Man, tengok laptop baru aku ni. Mur mur je aku beli dengan spesifikasi yang aku nak”

“Kau biar betul Din, cuba check dulu kat app MCMC. Kalau tak ori buat naya je kalau ada apa-apa nanti.”

Apa je yang tak boleh dibeli online? Dari perkakasan elektrik ke elektronik, barang mainan, peranti komunikasi, ubat ke makanan. Harga yang kompetitif juga buat kita tak tahu nak pilih mana satu. Salah satu faktor yang menjadi penentu adalah harga yang paling murah. Tapi itulah, yang termurah tak semestinya yang paling berkualiti tapi ada faktor yang lagi penting terutamanya apabila melibatkan perkakasan elektrik, elektronik dan juga mainan.

Selamat ke tak?

Ilustrasi menunjukkan peralatan elektronik yang terbakar dan rosak

Jangan hanya kerana murah keselamatan dikompromi. Menurut laporan akhbar Sinar Harian, penjualan barangan elektrik berleluasa dari luar negara yang tak mendapat label keselamatan daripada Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) serta Suruhanjaya Tenaga Malaysia (ST) di marketplace  dikhuatiri boleh mengancam nyawa. Tapi jangan risau, sekarang ini banyak je perkara yang anda boleh semak kesahihan dan keselamatan barang yang digunakan dalam kehidupan seharian. Dari peranti yang digunakan sehinggalah ke status halal makanan.

Contohnya, ini adalah antara status pengesahan yang boleh disemak – Label MCMC, Pelabelan Kecekapan Tenaga (Star Energy Efficiency Rating), Label Halal dan Label Sirim.  Semua pengesahan ni boleh dibuat melalui laman web dan aplikasi. Kalau nak tahu macam mana, jom kita ikuti tutorial di bawah.

KENAPA PENTING SEMAK LABEL?

Pentingnya amalan menyemak kesahihan label untuk memastikan keselamatan produk dan tak mendatangkan risiko yang boleh memudaratkan pelanggan dan persekitaran. Jadi,  jom kita lihat tutorial untuk menyemak 6 label ini:

#1 Check Your Label MCMCPeralatan Komunikasi Yang Selamat!

Ikon menunjukkan logo aplikasi Check Your Label.

Check Your Label adalah aplikasi yang membantu anda menyemak pemerakuan wajib bagi peranti-peranti komunikasi yang dibeli. Contohnya seperti peranti komunikasi dan permainan kanak-kanak menggunakan Wi-Fi atau Bluetooth untuk memastikannya selamat digunakan.

#1 Muat turun di Apple Store atau Google Play

#2 Semak menggunakan memasukkan nombor IMEI atau No siri

#3 Tekan ‘search/cari’

#4 Maklumat berkenaan produk akan keluar

Memastikan keselamatan penggunaan seperti kejutan elektrik, mengelak gangguan frekuensi kepada stesen pemancar telekomunikasi. Atau boleh mengenalpasti peralatan komunikasi yang dibeli mungkin palsu atau merupakan klon mahupun yang terlarang. Untuk manual penuh, anda boleh rujuk di sini atau ke laman sesawang  CYL MCMC.

#2 SmartHalalApps – Penggunaan Tanpa Was-Was

Ikon menunjukkan logo aplikasi SmartHalalApps.

Tonton pejelasan penuh dari pihak JAKIM menerusi pautan link berikut : https://fb.watch/iZfpVAueSZ/

SmartHalalApps adalah aplikasi yang membolehkan pengguna menyemak status produk makanan & minuman, premis makanan, rumah sembelih, bahan habis pakai, kosmetik & produk farmaseutikal, dan perkhidmatan logistik yang disahkan halal oleh Persijilan Halal Malaysia.

#1 Muat turun di Google Play (hanya tersedia di peranti Android)

#2 Lakukan carian mengikut kategori seperti makanan dan minuman, syarikat dan sebagainya

#3 Maklumat berkaitan restoran seperti alamat keluar

#4 Tekan ikon Google Maps untuk ke destinasi 

Memudahkan pelanggan untuk memastikan status halal untuk penggunaan tanpa was-was terutamanya makanan. Maklumat lanjut, boleh ke laman sesawang Smart Halal.

#3 SIRIM QAS International Barangan Dah Diuji & Selamat!

Ikon menunjukkan logo aplikasi SIRIM QAS International.

SIRIM QAS International merupakan aplikasi yang dapat menyemak barangan yang mempunyai label SIRIM yang sah terutamanya barangan elektrik.

#1 Muat turun di Apple Store atau Google Play

#2 Klik pada ‘check SIRIM Label’

#3 Pilih QR Scan (atau masukkan nombor siri)

#4 Imbas label SIRIM pada ruang kod QR untuk dapatkan maklumat pensijilan

Barangan yang mempunyai pensijilan SIRIM yang sah memberi jaminan keselamatan kepada para pengguna bahawa produk yang dibeli telah melalui pemeriksaan dan pengujian serta mematuhi standard yang telah ditetapkan. 

#4 Energy Efficiency Label (Star Rating )Guna Elektrik dengan Lebih Berhemah!

Gambar menunjukkan contoh label Star Rating

Ini pula panduan untuk penjimatan tenaga menggunakan STAR RATING oleh Suruhanjaya Tenaga. Setiap peralatan elektrik seperti televisyen, peti ais, pendingin hawa yang memenuhi kriteria penjimatan tenaga perlu ada label tanda ini sebelum dijual.

Panduan di sini boleh bantu anda untuk menyemak peralatan elektrik mana yang paling efisien penggunaan tenaganya untuk dibeli. Boleh lah anda pilih peralatan mengikut bajet jangka panjang anda. 

Menjimatkan wang dalam jangka masa panjang, mengurangkan jejak karbon yang dihasilkan oleh penjanaan elektrik dan meningkatkan kualiti hidup anda.

#5 BPFK KKMJangan main telan, semak dulu!

Tangkap layar laman web NPRA di mana anda boleh semak produk & pelesenan ubat & kosmetik

Biro Pengawalan Farmaseutikal Kebangsaan atau National Pharmaceutical Regulatory Agency (NPRA), membolehkan anda untuk semak keselamatan ubat dan kosmetik yang anda gunakan. Semak sama ada ia disahkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Maklumat mengenai status keselamatan produk kosmetik yang selamat dan bernotifikasi dengan BPFK boleh layari  laman sesawang  NPRA. Dengan nombor notifikasi atau NOT number, anda boleh  lakukan carian ‘Product Search’ di situ.

#6 Tanda MC (Malaysian Conformity Mark) – Label Keselamatan Mainan oleh KPDN

Gambar menunjukkan contoh mainan dengan tanda MC. Kredit gambar daripada  Borneo Post.

Tanda MC adalah singkatan untuk Malaysian Conformity Mark.  MC adalah penunjuk bahawa mainan tertentu yang dibekalkan atau dijual di Malaysia telah mematuhi piawaian keselamatan yang ditetapkan oleh KPDN dan selamat untuk pengguna.  Mainan mesti ditanda atau dilekatkan dengan MC dengan nombor pendaftaran oleh KPDN (pada produk atau pembungkusan). 

Hanya dengan memastikan mainan anak-anak anda mempunyai tanda ‘MC’ seperti di gambar, anda boleh bersenang hati dengan keselamatan mainan tersebut. Jika anda mahukan maklumat lanjut, boleh ke sini.

SEMAK UNTUK SELAMAT!

Ilustrasi menunjukkan sebuah keluarga di hadapan rumah

Keselamatan anda bukanlah satu kompromi. Pastikan semua peranti disemak untuk memastikan ianya asli dan selamat untuk digunakan. Bil utiliti pun boleh jimat bila tahu nak pilih peralatan terbaik bila anda pilih perkakas yang mempunyai Star Rating yang tinggi. Begitu juga dengan makanan dalam memastikan apa yang dimakan adalah bersih dan mematuhi hukum Syarak bagi yang Muslim. 

Jadi jom manfaatkan ketersambungan jalur lebar yang memudahkan kita dalam memastikan keselamatan dalam kehidupan seharian. Jangan lupa muat turun atau semak melalui laman sesawang berkaitan  untuk kesejahteraan kita bersama!